
Suatu
hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, “Wahai Aba
Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat.”
Setelah
mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, “Jika kamu mahu menerima lima
syarat dan mampu melaksanakannya, maka bolehlah kamu melakukan maksiat.”
Lelaki
itu dengan tidak sabar-sabar bertanya, “Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba
Ishak?”
Ibrahim
bin Adham berkata, “Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan
memakan rezekinya.”
Mendengar
itu dia mengenyitkan kening seraya berkata, “Dari mana aku mahu makan? Bukankah
semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?”
“Ya!”
tegas Ibrahim bin Adham. “Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan
rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?”
“Yang
kedua,” kata Ibrahim, “Kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya!”
Syarat
ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati.
Ibrahim
kembali berkata kepadanya, “Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak
memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala
laranganNya?”
“Ya!
Anda benar.” kata lelaki itu.
Dia
kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, “Kalau kamu masih
mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat
oleh-Nya!”

Lelaki
itu kembali terperanjat dan berkata, “Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana?
Mana mungkin Allah tidak melihat kita?”
“Ya,
kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?”
kata Ibrahim.
Lelaki
itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat. Ibrahim
melanjutkan,“Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah
kepadanya; Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan
amal soleh.”
Kemudian
lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, “Wahai Ibrahim, mana
mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?”
“Wahai
Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan
mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari
kemurkaan Allah?”
“Baiklah,
apa syarat yang kelima?”
Ibrahim
pun menjawab, “Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak
mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya.”
Perkataan
tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, “Wahai Aba Ishak, sudah pasti
malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya.”
Dia
tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. “Mulai
saat ini aku bertaubat kepada Allah.” Katanya sambil teresak-esak.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar